Khamis, 2 Februari 2012

ICT Dalam Pendidikan

ICT (Information  Communication Technology) adalah system yang membolehkan pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan, dan komunikasi maklumat  dalam pelbagai bentuk.  ICT dalam pendidikan bermaksud
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras  dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, pengajaran dan  pembelajaran (P&P) serta pendidikan sepanjang hayat. Penggunaan  ICT dalam P&P membolehkan aktiviti P&P dijalankan  tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan
penggunaan sumber  pendidikan, perupaya meningkatkan kualiti pendidikan di samping mempercepat proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan pelajar.

KPM telah menggariskan tiga  dasar utama ICT dalam pendidikan.
 1. Dasar pertama adalah literasi ICT untuk semua pelajar, bermaksud  pelajar memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan ICT.
2. Dasar kedua mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan  sebagai kurikulum dan alat P&P. ICT sebagai kurikulum bermaksud  pelajar mempelajari ICT sebagai mata pelajaran seperti mata pelajaran  Teknologi Maklumat bagi peringkat SPM dan mata pelajaran Pengkomputeran  bagi peringkat STPM. ICT dalam P&P seperti penggunaan perisian  kursus, internet, dan aplikasi generik yang lain (contohnya, perisian  CAD dalam mata pelajaran reka cipta dan lukisan kejuruteraan).

3. Dasar ketiga menekankan penggunaan ICT untuk meningkatkan  produktivi, kecekapan, dan keberkesanan sistem pengurusan. Ini terhasil  daripada pengautomasian pejabat dan pelaksanaan sistem aplikasi  pengurusan yang membawa kepada penambahbaikan proses kerja.

Pembangunan ICT dalam pendidikan  bagi 10 tahun akan datang bermatlamat untuk:
 1.    meningkatkan pembangunan infrastruktur ICT;
 2.    memperluas akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT;
 3.    memperluas kurikulum berasaskan ICT;
 4.    meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT;
 5.    menekankan pengintegrasikan ICT dalam P&P;
 6.    meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar,  tenaga   pengajar, dan personel KPM;
 7.    meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan;

 8.    meningkatkan usaha pengurusan dan penyenggaraan perkakasan ICT;
 9.    meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ICT; dan
 10.    meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan  masyarakat dalam membantu memperkembangkan ICT dalam pendidikan.

Sumber : Portal PPD Manjung

Tiada ulasan: