7 pemandu, kelindan kenderaan berat disyaki terbabit kena tahan
KUALA LUMPUR: Tujuh pemandu dan kelindan kenderaan berat syarikat perdagangan ditahan ketika menjual diesel subsidi kerajaan kepada satu sindiket membeli bahan kawalan itu di Hentian Jejantas Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh menghala ke Utara tengah hari semalam.
Serbuan yang dilakukan jam 1.50 tengah hari itu hasil pemantauan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, di lokasi itu sejak seminggu lalu berdasarkan maklumat awam turut membawa kepada kejayaan penahanan dua lelaki anggota sindiket yang menawarkan diri untuk membeli minyak daripada pemandu lori yang melalui hentian rehat.
Ketika serbuan pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan sayur-sayuran sedang membiarkan beberapa lelaki mengeluarkan hampir 25 liter minyak diesel dari lori syarikat yang dinaiki mereka.
Hasil pemeriksaan mendapati setiap lori akan dibayar RM40 bagi setiap 25 liter diesel yang dibawa keluar dari lori mereka tanpa pengetahuan majikan.
Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang, berkata sindiket akan memperoleh keuntungan 80 sen bagi setiap liter yang dibeli sebelum dijual kepada pengguna industri seperti pemilik kilang dan syarikat pembinaan.
“Pada masa kini harga diesel yang dijual kepada kenderaan perdagangan di stesen minyak berjumlah RM1.80 bagi setiap liter manakala pengguna industri boleh mendapatkannya dengan harga RM2.60 seliter daripada ejen penjual yang dibenarkan, ” katanya.
Katanya, pemandu dan kelindan akan terpedaya dengan tawaran oleh sindiket dengan menjual diesel subsidi syarikat mereka dan memperoleh antara RM 50 hingga RM100 sehari.
Hasil siasatan KPDNKK, selain R&R Sungai Buloh, Dengkil, Shah Alam dan Klang juga menjadi lokasi kegiatan itu antara jam 10 pagi hingga lewat malam dan sindiket kebiasaannya memperoleh lebih 2,000 liter sehari serta mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit sehari.
Mereka yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 bagi individu manakala RM250,000 bagi syarikat.
KPDNKK turut menyita tiga treler dan sebuah lori dua tan serta merampas hampir 300 liter diesel subsidi yang dibeli.
Sementara itu, sebuah premis menjual minyak pelincir kenderaan di Bandar Baru Selayang disyaki membeli diesel subsidi kerajaan dari sebuah stesen minyak di Selayang dan menyimpan 1,200 liter diesel tanpa kebenaran.
Othman berkata, setiap premis hanya dibenarkan menyimpan sebanyak 50 liter diesel.
“Berdasarkan siasatan awal kita percaya pemilik premis itu bersubahat dengan pengusaha stesen minyak dan menjual diesel itu kepada pengguna industri, ” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan