Jumaat, 3 Jun 2011

Henti guna istilah bir halal: Jamil Khir

 


KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta semua pihak hentikan penggunaan istilah ‘bir halal’ kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan terutama dalam kalangan umat Islam. 

Katanya, perkataan ‘bir’ tidak sesuai digunakan sebagai minuman tidak beralkohol kerana umat Islam sedia maklum bir minuman haram. 

Mengenai isu minuman ‘bir halal’ diimport dari luar negara Jamil Khir berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet selepas pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) melakukan kajian. 

Beliau berkata, Jakim akan berpandukan kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa paras alkohol dibenarkan dalam makanan dan minuman ialah 0.01 peratus dan jika melebihi, ia dianggap haram bagi umat Islam. 

Katanya, sijil halal pada minuman terbabit bukan dikeluarkan Jakim, tetapi negara pengeluar minuman terbabit. “Di Malaysia kita ada protokol sendiri dalam menentukan status halal sesuatu produk. Mungkin ia berbeza dengan negara lain. Selepas ini kita akan tetapkan produk diimport, walaupun ada logo halal, akan tetap dikaji untuk tentukan ia benar-benar halal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Ujian Penilaian Kelas Kafa di sini, semalam. 

Jakim akan berbincang dengan agensi berkaitan untuk mantapkan proses tindakan, penguatkuasaan dan penyeliaan. 

“Kita akan bekerjasama dengan kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk ambil tindakan terhadap penjual,” katanya. 

Minggu lalu Jamil Khir menasihati umat Islam di Malaysia tidak minum minuman didakwa pengedarnya sebagai ‘halal’ sedangkan kandungan alkohol dalam minuman itu melebihi paras dibenarkan Islam. 

Katanya, syarikat itu mendakwa bir berkenaan mengandungi 0.01 peratus alkohol, tetapi kajian makmal Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dapati kandungan alkoholnya 0.5 peratus

Tiada ulasan: